Mana-mana Menteri yang tak sokong Najib harus letak jawatan.

Posted on Updated on

Dalam kenyataan akhbar semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan telah meminta mana-mana anggota Kabinet yang tidak bersama dengannya dalam usaha pemulihan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) supaya meletakkan jawatan.

Beliau memberi kata dua itu ketika mengadakan mesyuarat Kabinet pada Jumaat lalu, bagaimanapun, tiada seorang pun anggota Kabinet yang menyatakan pendirian mereka untuk tidak bersama Najib ketika diberi peluang berbuat demikian.

Difahamkan, pendirian tegas Perdana Menteri itu dinyatakan sebaik sahaja Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah selesai membentangkan pelan hala tuju 1MDB kepada semua anggota Kabinet.

Malah, perkara yang berlaku dalam mesyuarat Kabinet itu turut dilaporkan dalam portal berita, Malaysia-today.net.

“Perdana Menteri meminta mana-mana anggota Kabinet yang tidak bersama dengan beliau dalam isu 1MDB meletakkan jawatan tetapi tiada seorang pun berbuat demikian (menyatakan tidak bersama),” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia, di Kuala Lumpur, semalam.

Memetik laporan sumber, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad pada Selasa lalu menggesa menteri yang tidak bersetuju dengan keputusan kolektif Kabinet dalam isu 1MDB perlu meletakkan jawatan.

Beliau yang sependapat dengan saranan Tengku Razaleigh Hamzah agar seluruh anggota Kabinet mengambil tanggungjawab dalam isu 1MDB ketika membuat gesaan itu berkata, prinsip Kabinet ialah tanggungjawab bersama.

Ahmad Husni ketika mengumumkan pelan rasionalisasi 1MDB pada Jumaat lalu memberitahu, syarikat tersebut akan menerima pembayaran AS$1 bilion (RM3.6 bilion) selepas memeterai perjanjian dengan firma dari Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) dan anak syarikatnya, Aabar Investments (Aabar).

Beliau menambah, IPIC akan membuat bayaran RM3.6 bilion itu pada atau sebelum 4 Jun selaku sebahagian daripada perjanjian berkenaan dan dana tersebut akan digunakan 1MDB untuk membayar balik pinjamannya yang berjumlah RM3.5 bilion lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan kumpulan bank antarabangsa. – UtaraNews.com
 

Leave a comment